AMALAN RASULULLAH S.A.W. SEPANJANG BULAN RAMADHAN

AMALAN
RASULULLAH S.A.W.
SEPANJANG BULAN RAMADHAN
—————————-————————————————————–
Sudah barang tentu kita ingin berpuasa dengan cara yang diamalkan oleh baginda Rasulullah s.a.w. agar puasa kita menjadi puasa yang diterima dan berkualiti. Dalam hal puasa ada beberapa perkara yang menjadi sunnah berpuasa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. diantaranya:
1. Sahur:
Para ulama sepakat bahawa sahur itu hukumnya sunat dan tidak berdosa bagi orang yang meninggalkannya. Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. ada bersabda; “Makan sahurlah kamu kerana sahur itu berkah !” Abu Sa’id Al-Khudri mengatakan, “Sahur itu barakah, maka janganlah kalian meninggalkannya meskipun kamu hanya minum seteguk air, kerana sesungguhnya Allah dan para Malaikat merahmati orang yang bersahur. Adapun waktunya Rasulullah menganjur agar sahur dilakukan pada akhir waktu.”
2. Menyegerakan Berbuka:
Disunatkan menyegerakan berbuka setelah datang waktu Maghrib. Sahl bin Said mengatakan bahawa: Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: “Manusia sentiasa dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka.” Juga disunatkan berbuka sebelum solat Maghrib, Anas bin Malik mengatakan: “Adalah Rasulullah s.a.w. berbuka dengan beberapa biji kurma sebelum solat (Maghrib).”
3. Membaca Doa Berbuka Puasa:
Diantara doa yang diajarkan Rasulullah s.a.w.: “Ya, Allah demi Engkaulah aku berbuka puasa dan dengan rezeki Engkaulah aku berbuka.”
4. Berusaha Untuk Meninggalkan Semua Yang Dapat Mengurangi Pahala Puasa:
Sasaran yang hendak dicapai oleh setiap Muslim dengan puasanya ialah menjadi bertaqwa. Taqwa tidak dapat mungkin dengan kata tetapi memerlukan proses yang panjang. Untuk tujuan tersebut ada larangan dari Rasulullah s.a.w. untuk mengeluarkan kata jelek yang kotor, melakukan perbuatan yang sia-sia dan merugikan orang lain. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Puasa itu bukanlah (semata-mata menahan diri) dari makan dan minum, akan tetapi juga dari perbuatan sia-sia dan kotor. Maka jika seseorang itu memakimu atau menjahilimu, katakanlah bahawa aku sedang berpuasa, aku sedang berpuasa.”
5. Bersikap Pemurah Dan Mesra Kepada Sesama Muslim:
Rasulullah s.a.w. bersifat pemurah . Akan tetapi pada bulan Ramadhan tingkat pemurahan hatinya semakin bertambah. Ibnu Abbas mengatakan, “Rasulullah s.a.w. adalah manusia pemurah dan lebih pemurah lagi pada bulan Ramadhan.”
6. Solat Tarawikh Dan Witir:
Disunatkan melakukan solat tarawih atau qiamur-ramadhan. Dari Abi Hurairah, semoga Allah meredhainya, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barang sesiapa yang solat pada (malam) Ramadhan dengan dasar iman dan mengharapkan redha Allah, akan diampuni dosa-dosanya yang lalu”.
7. Bertadarus Al-Quran:
Tadarus (membaca dan menghayati) Al-Quran dianjurkan sepanjang masa. Akan tetapi pada bulan Ramadhan, Rasulullah s.a.w. ada memperbanyakkan lagi bacaan Al-Quran. Dalam hadis disebutkan: “Adapun malaikat Jibril, pada bulan Ramadhan menemui Rasulullah s.a.w. setiap malam lalu ia bertadarus Al-Quran bersamanya. Dan adalah Rasulullah s.a.w. lebih pemurah dalam kebaikan daripada angin yang bertiup.
8. Meningkatkan Peribadatan Pada Sepuluh Hari Terakhir:
Pada sepuluh hari terakhir Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya agar meningkatkan ibadah baik kualiti mahupun kuantitinya. Dari Aisyah, semoga Allah meredhainya, mengatakan, “Adalah Rasulullah s.a.w. jika memasuki sepuluh hari terakhir (dari bulan Ramadhan) baginda menghidupkan malam dan membangunkan keluarganya dan menguatkan ikatan sarung. (Bukhari Muslim)
Dipetik dari laman ISMA


0 Comments:
Post a Comment
<< Home